
Wakil rakyat Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata kepimpinan Hamzah di peringkat nasional kekal relevan, dengan beliau kini turut mengetuai platform Penggerak Payung Melayu yang disertai pelbagai tokoh dan dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat.
Dalam tulisan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian, Saifuddin berkata meskipun Hamzah bukan lagi ketua pembangkang, beliau terus memainkan peranan melalui pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai pihak.
Menurutnya, pertemuan itu melibatkan pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan, golongan profesional dan akademia, merentas kaum dan latar belakang serta organisasi besar.
“Tujuannya untuk memperkasa PN serta agenda perpaduan dan pembangunan negara yang komprehensif.
“Tetapi, Muhyiddin Yassin mendesak Hamzah dan partinya (yang akan diumumkan tidak lama lagi) dihalang daripada menganggotai PN,” katanya.
Hamzah dipecat Bersatu, 13 Feb lalu susulan krisis kepimpinan parti diketuai Muhyiddin terbabit dan sehari selepas itu melancarkan gerakan ‘reset’.
Bekas timbalan presiden Bersatu itu dikatakan akan mengetuai sebuah parti baharu tetapi pada masa, Hamzah turut membayangkan platform bakal disertainya mungkin telah berada dalam PN.
Bulan lalu, Muhyiddin dilaporkan media berkata beliau sendiri akan menolak sekiranya Hamzah mahu menyertai PN sambil menegaskan hak menerima keahlian bukan datang daripada satu pihak sahaja, sebaliknya persetujuan parti komponen.
PN kini dianggotai PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata gagasan reset’ adalah komitmen ke arah Malaysia yang lebih baik serta memperkukuh kedudukan ummah di peringkat serantau dan global.
Menurutnya, gagasan itu berpaksikan prinsip memperbetulkan kelemahan, menambah baik perkara yang baik dan memperbaharui yang rosak, berlandaskan nilai agama serta prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan sejarah kebangsaan.
Dari segi pelaksanaan, beliau berkata, reset berasaskan tiga tunjang Konsensus Nasional Baharu, iaitu matlamat bersama, kemakmuran ekonomi yang dikongsi dan tata kelola yang adil.
“Pelaksanaan agenda itu memerlukan kemenangan dalam PRU16 dan pembentukan kerajaan melalui PN serta jaringannya bagi memastikan kestabilan politik dan kematangan demokrasi,” katanya.
Saifuddin berkata antara dasar utama digariskan termasuk mengangkat kepelbagaian rakyat sebagai kekuatan negara, memperkukuh demokrasi pelbagai kaum yang sederhana, serta memacu pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, aspek lain turut melibatkan pembangunan peradaban, pendidikan rakyat beradab, keselamatan negara, hubungan antarabangsa yang aman, serta kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat sivil.