Serangan seksual: Aktivis kesal bekas Adun Amanah dilepas tanpa bebas

Serangan seksual: Aktivis kesal bekas Adun Amanah dilepas tanpa bebas

Yuslaini Azmi berkata, prosiding mahkamah menjejaskan kesihatan mentalnya.

Faiz Fadzil dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam dalam kes mencabul kehormatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli PKR Terengganu kecewa keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) seorang bekas Adun Amanah yang didakwa mencabul kehormatannya, dua tahun lalu.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Mahkamah Majistret Shah Alam melepas tanpa membebaskan Faiz Fadzil selepas pihak pendakwaan memohon pertuduhan itu ditarik balik.

Faiz dihadapkan ke mahkamah pada 2021 atas dakwaan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan aktivis itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika mereka menaiki sebuah kereta dari pusat beli-belah Sunway Pyramid ke Subang Jaya.

Yuslaini Azmi dan peguamnya terkejut dengan keputusan mahkamah itu kerana mendakwa mereka berjaya membuktikan kes prima facie.

“Tiada keadilan lagi di negara ini. Saya kecewa,” kata Yuslaini, bekas setiausaha Pemuda PKR Batu kepada FMT.

Beliau berkata, prosiding mahkamah itu menjejaskan kesihatan mentalnya.

Yuslaini turut didakwa mahu mempolitikkan kes itu supaya diberikan jawatan dalam PKR.

“Kali terakhir saya dipanggil pegawai penyiasat di Subang Jaya, dia tanya sama ada saya melaporkan kes itu kerana mahu menjadi perosak rumah tangga.”

Wanita itu turut mendakwa Faiz menggunakan sakit mentalnya terhadap beliau di mahkamah.

Yuslaini berkata, tertuduh memohon menarik balik kes itu, tetapi beliau tidak menerima sebarang surat mengenainya.

Yuslaini yang kecewa dengan keputusan DNAA terhadap Faiz, mahu melupakan kes itu dan memfokuskan pengajian sarjana dalam bidang psikologi.

“Saya tidak mahu fikir tentang kes itu lagi. Jika saya terus fikirkan situasi rumit ini, ia (merosakkan) kesihatan mental saya. Saya tak mahu menderita lagi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.