
Hakim Faizah Jamaludin, berkata badan berkanun yang mewakili lebih 25,000 peguam itu telah melepasi ambang diperlukan bagi membolehkan merit kes itu didengar di Mahkamah Tinggi.
“Cabaran Badan Peguam (terhadap) kedudukan peguam negara dalam menghentikan pendakwaan terhadap responden kedua (Zahid) bukanlah sesuatu yang remeh dan ia membangkitkan isu-isu yang boleh dipertikaikan,” katanya ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang membenarkan rayuan Badan Peguam.
Panel itu turut dibarisi Hakim Lim Hock Leng dan Nadzrin Wok Nordin.
Faizah berkata, keputusan peguam negara yang juga pendakwa raya untuk mendapatkan DNAA berkenaan boleh tertakluk kepada semakan kehakiman dalam kes-kes yang ‘sesuai, jarang berlaku, dan luar biasa’.
Mengakui peguam negara mempunyai kelebihan berdasarkan anggapan kesahan seperti ditetapkan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sundra Rajoo lwn menteri luar negeri & lain-lain (2021), Faizah berkata anggapan tersebut boleh disangkal.
Katanya, keputusan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang membenarkan DNAA susulan permohonan pihak pendakwaan pada 2023 hanyalah satu perintah prosedur yang dibuat dalam perjalanan prosiding jenayah itu.
Faizah menegaskan, kepentingan dapatan mahkamah jenayah yang memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid bagi semua 47 pertuduhan tidak boleh dipandang rendah, memandangkan hakim perbicaraan telah melakukan penilaian maksimum terhadap keterangan yang ada di hadapannya.
Yang Arif berkata, kes dibawa memenuhi syarat ‘jarang berlaku dan luar biasa’ disebabkan gabungan pelbagai faktor, termasuk keseriusan pertuduhan dan elemen kepentingan awam.
Hakim juga menolak dakwaan bahawa permohonan tersebut merupakan satu bentuk serangan kolateral terhadap perintah mahkamah.
“Perayu tidak menyerang perintah mahkamah jenayah yang memberikan DNAA tersebut,” katanya sambil menegaskan cabaran itu berkait keputusan peguam negara untuk memberhentikan pendakwaan.
Peguam negara boleh merayu keputusan hari ini ke Mahkamah Persekutuan, namun perlu mendapatkan kebenaran dengan merangka persoalan undang-undang yang membangkitkan isu baharu berkepentingan awam yang masih belum diputuskan.
Pada 4 Sept 2023, Zahid telah diberikan DNAA daripada 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram, dan pecah amanah jenayah, sementara menunggu siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada ketika itu, perbicaraan telah pun mencapai peringkat pembelaan, dengan Zahid dan 14 saksi pembelaan lain telah memberi keterangan.
Pada Disember 2023, Badan Peguam memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan peguam negara yang memohon DNAA demi kepentingan Zahid.
Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Badan Peguam, yang membawa kepada rayuan semasa ini.
Dalam kenyataan pada 8 Jan 2026, Jabatan Peguam Negara memaklumkan pihak pendakwaan mendapati bukti tidak mencukupi untuk meneruskan pertuduhan hasil siasatan SPRM dan memutuskan untuk menetapkan kes tersebut sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA).
Peguam Ambiga Sreenevasan, Steven Thiru, dan S Sivaneindiren mewakili Badan Peguam, manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik bertindak bagi pihak Zahid, dan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali bertindak bagi pihak peguam negara.