
Walaupun Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berterima kasih kepada Umno kerana menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, beliau berkata, perbincangan seumpama itu sepatutnya diadakan sebelum 14 Adun Umno terbabit mengambil ‘tindakan berunsur khianat dan tebuk atap’.
“Cadangan mengadakan perbincangan setelah menikam rakan gabungan di belakang adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal,” kata Faiz dalam kenyataan.
Beliau turut mengkritik 14 Adun berkenaan kerana menjalin hubungan dengan lima Adun Perikatan Nasional untuk cuba membentuk kerajaan negeri baharu, yang menurutnya tidak boleh ditafsirkan sebagai apa-apa selain pengkhianatan berniat jahat.
Beliau mengesyorkan agar Adun Umno terbabit membatalkan penarikan sokongan mereka terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan diberikan amaran keras.
“… sekiranya semua tindakan di atas dilakukan, barulah cadangan pertemuan boleh diambil serius dan dipertimbangkan,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa mesyuarat tergempar diadakan antara biro politik Umno dan PH, selaras dengan memorandum persefahaman kerajaan perpaduan, yang menetapkan bahawa perkara dasar yang dipertikaikan harus diselesaikan melalui majlis perundingan.
Beliau berkata, Umno juga akan terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, walaupun wakil-wakil rakyatnya menarik sokongan terhadap Aminuddin.
Asyraf berkata, Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias telah menjelaskan rasional tindakan menarik balik sokongan itu, dan Umno menghormati keputusan itu.