
Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Azman Mahmood berkata sekatan mengikut Peraturan-peraturan 10(1)(b) Peraturan-peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan, Pemborong dan Peruncit) itu berkuat kuasa hari ini
“Kita dapati ada peniaga membeli beras putih dalam satu masa sekitar 500 hingga 700 kampit.
“Sebab itu kita buat sekatan bermula hari ini, mengikut peraturan itu setiap orang hanya boleh membeli 10 kampit beg 10kg atau 100kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Mardi.
Selasa lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata peningkatan mendadak terhadap beras tempatan kebelakangan ini menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan di beberapa lokasi tertentu.
Ia berpunca pelarasan harga jualan beras putih import berkuat kuasa 1 Sept lalu diumumkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menyaksikan harganya meningkat di pasaran.
Sementara itu, Azman menegaskan penukaran kampit beras tempatan kepada beras import tidak berlaku seperti didakwa sesetengah pihak.
Katanya, pihaknya telah menjalankan 900 pemeriksaan di bawah Op Jamin yang dibuat secara berkala.
“Walaupun (segelintir dakwaan) dibuat di TikTok, tetapi mereka tidak membuat aduan rasmi kilang dan lokasi ia berlaku,” katanya yang menegaskan tindakan akan diambil terhadap pihak membuat dakwaan tanpa bukti berkenaan.
Beliau juga memberi jaminan bekalan beras setakat ini mencukupi untuk tempoh sehingga enam bulan.