
Pengerusi Abdul Rashid Yob mendakwa, bukan hanya bantuan itu malah ada beberapa perkara diumumkan kerajaan untuk disalurkan kepada pesawah tetapi sehingga kini belum diterima.
“Misalnya dari segi kurangkan kos perkhidmatan jentera dan sebagainya. Kerajaan janji Julai tahun lepas (nak) beri insentif penuaian RM50 (tetapi) masih belum terima.
“(Sebelum ini) kerajaan juga umum penambahan insentif pembajakan dari RM100 kepada RM160 iaitu kenaikan RM60 (tetapi masih) tak boleh sampai kepada petani.
“Perlu lihat tadbir urus dan tatakelola Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) apabila sesuatu diumumkan tetapi masih tak dilaksanakan atau sampai kepada petani,” katanya kepada FMT.
Februari lalu, media melaporkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan menyalurkan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
Kemudian pada bulan sama juga, dilaporkan RM15 juta daripada RM30 juta itu akan disalurkan kepada pesawah ‘dengan segera’ sebagai persediaan awal Ramadan dan Syawal.
Bagaimanapun, pada 5 April lalu Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Ismail Salleh, berkata kesuntukan masa dari segi pengurusan menyebabkan bantuan RM15 juta tidak dapat disalurkan kepada pesawah menjelang Aidilfitri.
Pada 6 April, Bernas mengeluarkan kenyataan pihaknya menyalurkan sepenuhnya bantuan khas RM90 juta kepada KPKM sebagai komitmen tidak berbelah bagi syarikat terhadap kebajikan pesawah di negara ini.
Menurut kenyataan itu, dana tersebut yang keseluruhan disumbangkan Bernas tanpa menggunakan dana awam, disalurkan menerusi dua fasa dengan fasa pertama sebanyak RM60 juta dibayar secara berperingkat manakala bayaran terakhir RM15 juta diselesaikan pada 5 Mac lalu.
Menurut Bernas, peruntukan tambahan RM30 juta seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Feb lalu, juga telah disalurkan sepenuhnya kepada kerajaan pada 28 Mac.
Sementara itu, Rashid menyambut baik usaha kerajaan termasuk Bernas membantu pesawah, namun berpandangan bantuan RM90 juta tersebut bukan penyelesaian holistik untuk jangka panjang.
“Jika dibahagi kepada lebih 200,000 pesawah dalam negara…baru dapat RM400 lebih sahaja (seorang). Bukan kami tak bersyukur, tetapi petani masih terbeban dengan kos dan keuntungan sangat ‘nipis’.
“Jika terus begini pesawah tidak ada motivasi untuk usahakan sawah padi. Perlu lihat satu penyelesaian yang melibatkan masa panjang untuk kelangsungan hidup pesawah,” katanya.