Harga beras putih import turun kepada RM2,600 per tan

Harga beras putih import turun kepada RM2,600 per tan

Penurunan itu mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk perkembangan pasaran global serta keperluan menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan.

beras
Kerajaan berkata pelarasan harga beras putih import sebagai langkah proaktif untuk terus menjamin kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Harga beras putih import (BPI) di pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diturunkan kepada RM2,600 berkuat kuasa esok.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata penurunan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk perkembangan pasaran global serta keperluan menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan, selepas sesi libat urus bersama Bernas.

“Pelarasan harga BPI di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk terus menjamin kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Ini pelarasan kali kedua selepas penurunan harga pada 1 Dis lalu, daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata program subsidi BPI bagi Sabah dan Sarawak akan diteruskan seperti biasa.

Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan makanan ruji negara kekal mampu milik, mudah diperoleh, dan sentiasa mencukupi.

“Kejayaan ini adalah hasil pendekatan strategik Bernas dalam mempelbagaikan sumber bekalan beras daripada pelbagai negara seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar, yang seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan pasaran dan memastikan dasar yang digariskan kekal berpaksikan kepentingan rakyat dan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.