Sumbangan Bernas bukan dana awam, Mat Sabu jamin pesawah dapat agihan tengah April

Sumbangan Bernas bukan dana awam, Mat Sabu jamin pesawah dapat agihan tengah April

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata agihan ambil masa kerana dana itu tertakluk tadbir urus kewangan syarikat korporat.

Sumbangan Bernas sebanyak RM30 juta telah mula diagihkan kepada lebih 200,000 pesawah selepas dana itu diterima sepenuhnya pada 28 Mac. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Agihan dana sumbangan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebanyak RM30 juta kepada pesawah mengambil sedikit masa memandangkan ia bukan dana awam.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, berkata justeru dana itu tertakluk tadbir urus kewangan korporat itu.

Namun, beliau berkata, dana tersebut telah diterima sepenuhnya pada 28 Mac lalu, dan telah mula diagihkan kepada lebih 200,000 pesawah yang layak di seluruh negara.

“Agihan sumbangan ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan April ini,” katanya dalam kenyataan.

“Kementerian komited sepenuhnya dalam memastikan bantuan ini sampai kepada semua yang berhak. Kami amat menghargai kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para pesawah sepanjang proses ini berlangsung.”

Semalam, Adun Kota Siputeh Ashraf Mustaqim Badrul Munir mendakwa pesawah belum terima ‘sesen pun’ daripada bantuan wang RM15 juta yang menurutnya patut disalurkan menjelang Aidilfitri.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan bertindak segera untuk memastikan bantuan itu disalurkan.

Susulan itu, FMT melaporkan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Ismail Salleh, berkata kesuntukan masa dari segi pengurusan menyebabkan bantuan RM15 juta tidak dapat disalurkan kepada pesawah menjelang Aidilfitri.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya menjadi isu kerana perancangan untuk mengagihkannya sedang berjalan selaras pengumuman insentif bertujuan meringankan kelompok pesawah berkenaan.

Pada Februari lalu, dilaporkan Bernas akan menyalurkan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.

Kemudian pada bulan sama, media melaporkan RM15 juta daripada RM30 juta itu akan disalurkan kepada pesawah ‘dengan segera’ sebagai persediaan awal Ramadan dan Syawal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.