
Dalam kenyataan, Bernas menekankan langkah berkenaan selaras janji syarikat itu untuk menyokong inisiatif kerajaan Madani dalam meningkatkan taraf hidup pesawah yang kurang berkemampuan dan memastikan keterjaminan makanan negara.
Menurut kenyataan itu, dana tersebut yang keseluruhan disumbangkan oleh Bernas tanpa menggunakan dana awam, disalurkan menerusi dua fasa dengan fasa pertama sebanyak RM60 juta dibayar secara berperingkat manakala bayaran terakhir RM15 juta diselesaikan pada 5 Mac lalu.
Menurut Bernas, peruntukan tambahan RM30 juta seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Feb lalu, juga telah disalurkan sepenuhnya kepada kerajaan pada 28 Mac.
“Sebagai entiti swasta, semua sumbangan itu tertakluk kepada tadbir urus kewangan yang ketat bagi memastikan aspek pematuhan dan akauntabiliti,” menurut kenyataan itu.
Syarikat itu juga menegaskan sokongan berterusan kepada rancangan jangka panjang kementerian bagi meningkatkan kebajikan petani, menjamin kestabilan dan ketersediaan bekalan beras kepada seluruh rakyat Malaysia, serta bekerjasama rapat dengan KPKM dan pihak berkepentingan lain bagi melaksanakan inisiatif strategik yang mengukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.