Kemajuan projek landasan elektrik berkembar Gemas-JB capai 92%

Kemajuan projek landasan elektrik berkembar Gemas-JB capai 92%

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata projek landasan berkembar elektrik yang terdiri daripada 11 stesen itu dijangka siap menjelang 2025.

Loke Siew Fook (empat dari kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU Kerjasama Strategik bagi pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park hari ini. (Gambar Bernama)
KLUANG:
Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) mencapai kemajuan 92% setakat ini, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Katanya, projek landasan berkembar yang terdiri daripada 11 stesen itu dijangka siap menjelang 2025.

“Keseluruhan projek ini memang memerlukan tempoh masa lama dan banyak kali dilanjutkan untuk disiapkan, terutamanya disebabkan Covid-19, jadi terlewat tetapi kini ia berjalan lancar. Apabila siap, barulah kami buat percubaan sebelum beroperasi sepenuhnya.

“Kami harap projek ini dapat disiapkan dalam kadar segera supaya landasan ini dapat menghubungkan Johor Bahru ke Kuala Lumpur hingga ke Padang Besar,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik bagi pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park di Dewan Tunku Ibrahim Ismail.

Projek landasan berkembar sepanjang 192km itu akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan bergerak selaju 140km/j dengan anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah 3 jam 30 minit.

MoU antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Majlis Perbandaran Kluang (MPK), SIPP-YTL JV dan Think City Sdn Bhd bagi membangunkan Kluang Heritage Railway Linear Park meliputi taman rekreasi dibina di bawah jejambat kereta api di sini sepanjang hampir 3km.

Loke berkata menerusi perjanjian itu, RAC akan bertindak selaku pemilik tanah kereta api, MPK sebagai pihak berkuasa tempatan, SIPP-YTL JV pula kontraktor landasan berkembar, manakala Think City akan menjalankan program berkaitan tanggungjawab sosial korporat masing-masing.

“Projek ini akan menggunakan tanah sedia ada di bawah jejambat kereta api. Apabila konsep ini diilhamkan dan dibentangkan, kita rasa memang berbaloi untuk kita mempertimbangkannya kerana tanah (kosong) itu memang tak boleh dibiarkan kerana memerlukan penyelenggaraan apabila ada semak-samun.

“Ia akan bagi impak sangat positif kepada penduduk tempatan dan menaikkan imej Kluang sebagai bandar unik, bukan saja ada kereta api, tetapi ada taman rekreasi dan akan jadi produk pelancongan, sekali gus menjana peluang perniagaan.”

Katanya pembinaan taman rekreasi itu diwartakan dalam Rancangan Tempatan MPK 2030 bagi mengubah landskap persekitaran kawasan itu, sekali gus mewujudkan jaringan hijau dan menyokong pembangunan rendah karbon.

“Dalam masa terdekat, saya akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk mendapat perkenan tuanku terlebih dahulu supaya projek ini (apabila siap akan) dinamakan ikut nama tuanku kerana tuanku berminat dengan kereta api, malah baginda juga boleh memandu kereta api.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.