
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata cadangan itu dipersetujui Jemaah Menteri dan disokong penuh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, lapor Bernama.
“Sebagai Pengerusi Asean, kita mahu melihat perdagangan dalam negara Asean bertambah banyak bukan sahaja antara Malaysia-Thailand… ada kesalinghubungan antara Kuala Lumpur-Bangkok, boleh juga ke negara lain sampai ke Laos, China mahupun Asia Tengah.
“Jadi, ini perlu diusahakan bersama oleh Malaysia dan Thailand, lawatan saya ke Bangkok dua hari lepas amat berhasil, saya sempat berbincang dengan menteri pengangkutan (Suriya Juangroongruangkit) yang juga timbalan perdana menteri Thailand yang memberikan petanda positif untuk adakan kerjasama erat ini,” katanya dalam satu program di Seremban.
Jumaat lepas, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan State Railway of Thailand sudah diberikan tempoh tiga bulan untuk membuat persiapan awal bagi memulakan operasi perkhidmatan Kuala Lumpur-Bangkok.
Loke berkata perkhidmatan kereta api terus antara Kuala Lumpur dan Bangkok boleh menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan antara Malaysia dan Thailand.
“Umpamanya kalau ada pelancong luar seperti Eropah, guna kereta api ke Kuala Lumpur boleh terus ke Bangkok guna kereta api, begitu juga sebaliknya, ia juga lebih murah berbanding kapal terbang.
“Walaupun mungkin ambil masa 15 ke 16 jam, ia beri peluang kepada mereka untuk melihat keindahan kawasan luar bandar sepanjang laluan antara kedua-dua negara, ia merupakan pengalaman yang baik dan produk yang saya yakin dapat menarik ramai pelancong untuk guna mod pengangkutan ini,” katanya.