Dirogol bergilir akibat ‘dijual’ abang ipar kepada pemiutang

Dirogol bergilir akibat ‘dijual’ abang ipar kepada pemiutang

Polis mengesahkan suspek merancang perbuatan terkutuk itu dengan menelefon mangsa tidak mengunci pintu rumah pada 30 Ogos lalu.

Abang ipar mangsa ditahan di depan sebuah restoran di Jalan Rampai Niaga 5, Taman Sri Rampai Sabtu lalu susulan laporan dibuat wanita 26 tahun itu.
PETALING JAYA:
Seorang wanita menjadi mangsa rogol bergilir-gilir di Wangsa Maju, disyaki berpunca daripada tindakan abang iparnya untuk melunaskan hutang.

Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah, berkata hasil soal siasat ke atas suspek mendapati dia merancang perbuatan terkutuk itu dengan meminta mangsa tidak mengunci pintu rumah pada hari kejadian 30 Ogos lalu.

“Mangsa dan abang ipar duduk satu rumah di Blok D13, Seksyen 2 Wangsa Maju.

“Abang ipar mangsa dipercayai ada berhutang duit dengan salah seorang suspek masih bebas. Namun, tiada pengakuan rogol direkodkan daripada abang ipar mangsa,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, abang ipar mangsa berusia 29 tahun ditahan di depan sebuah restoran di Jalan Rampai Niaga 5, Taman Sri Rampai Sabtu lalu susulan laporan mangsa 26 tahun itu berhubung kejadian rogol pada 4.52 pagi.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa tersedar daripada tidur apabila mulutnya ditutup dan tangannya diikat kain.

Ashari berkata, dipercayai lima lelaki berada dalam bilik mangsa, dengan seorang suspek merogolnya, manakala seorang lagi merakam video kejadian itu.

Suspek direman enam hari hingga 8 Sept ini untuk disiasat mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan dan polis giat mengesan empat suspek masih bebas.

“Polis memohon kerjasama orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi pegawai penyiasat Siti Fadzilah Ahmad Fisal 017 6240252 atau hotline polis Kuala Lumpur 03 21159999 atau balai polis berhampiran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.