PRK Pulai: 927 pegawai, anggota polis undi awal esok

PRK Pulai: 927 pegawai, anggota polis undi awal esok

Terdapat tiga saluran di dua pusat pengundian awal iaitu di Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua yang akan dibuka pada 8 pagi.

Seramai 927 pegawai dan anggota polis akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi esok pada PRK Pulai.
JOHOR BAHRU:
Seramai 927 pemilih terdiri pegawai dan anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal bagi PRK Parlimen Pulai, esok.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata terdapat tiga saluran di dua pusat pengundian awal iaitu di Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, yang akan dibuka pada 8 pagi.

Beliau berkata, tiada alasan bagi mana-mana pegawai atau anggota untuk tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, justeru, semua warga polis yang terlibat perlu melaksanakan hak sebagai pengundi dalam proses demokrasi ini.

“Seramai 927 pegawai dan anggota akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi esok.

“Semua warga polis yang terlibat dalam pengundian awal ini disarankan agar melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan berhemah,” katanya dalam kenyataan.

PRK itu diadakan disebabkan kekosongan luar jangka selepas kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub, yang juga penyandang kerusi DUN Simpang Jeram, pada 23 Julai lalu.

Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN Simpang Jeram.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kerusi tersebut Sabtu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.