Ribut jejas persiapan sambutan Hari Kebangsaan di Perak

Ribut jejas persiapan sambutan Hari Kebangsaan di Perak

Ribut yang melanda petang tadi menyebabkan kerosakan khemah tetamu, pentas utama dan kerusi diterbangkan angin kencang.

Keadaan di pekarangan Stadium Indera Mulia lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perak yang rosak akibat dilanda ribut petang tadi. (Gambar Bernama)
IPOH:
Persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia esok, terjejas akibat kejadian ribut menyebabkan kerosakan khemah tetamu, pentas utama dan kerusi diterbangkan angin kencang, petang tadi.

Bagaimanapun, Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan, yang ditemui di lokasi kejadian, berkata ketika ini pelbagai agensi ditugaskan untuk memperbaiki kerosakan supaya sambutan tetap berlangsung seperti dijadualkan pagi esok.

“Kita terima maklumat melalui pusat kawalan daerah kira-kira 5.45 petang beberapa kawasan di Sungai Senam termasuk di kawasan stadium ini dilanda ribut.

“Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini, hanya laporan pokok tumbang dan persiapan sambutan ini juga terjejas,” katanya.

Katanya, kerosakan melibatkan khemah utama dan khemah tetamu yang tumbang dan tiang lampu turut rebah.

Yahaya berkata setakat ini petugas agensi termasuk bomba, Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Ipoh, pejabat daerah dan polis bertungkus lumus memperbaiki kerosakan untuk sambutan yang akan bermula seawal pagi esok.

Katanya, pihak polis turut bertindak pegawai operasi bencana bagi kejadian berkenaan.

“Insya-Allah kita akan pastikan sambutan esok akan tetap berjalan dengan kerjasama semua yang membantu ketika ini,” katanya.

Terdahulu, tular gambar-gambar dan video yang dikongsi netizen di media sosial kejadian ribut di kawasan Ipoh dan Kinta yang menyebabkan pokok tumbang termasuk di lokasi persiapan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di perkarangan Stadium Indera Mulia.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijadualkan berangkat ke sambutan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.