Sistem pengangkutan terjejas akibat ribut Leonardo di Sepanyol, Portugal

Sistem pengangkutan terjejas akibat ribut Leonardo di Sepanyol, Portugal

Perkhidmatan cuaca Sepanyol memberi amaran sesetengah kawasan berisiko menerima jumlah hujan bersamaan purata setahun dalam tempoh beberapa jam.

Storm Leonardo triggers warnings in Portugal's mainland EPA Images pic 5226
Penduduk menaiki bot selepas Sungai Sado melimpahi tebing selepas ribut Leonardo melanda Alcacer do Sal di Portugal pada Rabu. (Gambar EPA Images)
MADRID:
Ribut yang membawa hujan lebat serta angin kencang menyebabkan gangguan meluas di selatan Sepanyol dan Portugal pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Perkhidmatan cuaca Sepanyol, AEMET memberi amaran sesetengah kawasan berisiko menerima jumlah hujan bersamaan purata setahun dalam tempoh beberapa jam.

Di Wilayah Andalusia, kira-kira 3,000 orang dipindahkan dari kawasan perumahan tanah rendah berikutan banjir. Sekolah dan beberapa jalan raya ditutup, manakala perkhidmatan kereta api tergendala di beberapa laluan, lapor penyiar negara Sepanyol, RTVE.

Keadaan sama turut berlaku di Portugal, di mana usaha pemulihan masih dijalankan susulan ribut kuat minggu lalu yang menyebabkan kerosakan besar.

Banjir yang dicetuskan ribut terbaru dinamakan Leonardo, memutuskan hubungan beberapa desa dan menyebabkan sungai melimpah, selain memaksa sekolah terus ditutup. Jalan raya dan perkhidmatan kereta api turut terjejas akibat tanah runtuh serta pokok tumbang.

Penyiar nasional Portugal, RTP melaporkan tanah sudah tepu dan tidak mampu menyerap hujan tambahan.

Perkhidmatan cuaca Portugal, IPMA memberi amaran ribut lain dijangka melanda beberapa hari lagi.

Amaran turut dikeluarkan kepada Pulau Mallorca di Sepanyol, di mana jalur luar ribut Leonardo dijangka tiba pada Khamis. AEMET mengeluarkan amaran kuning, tahap amaran ketiga tertinggi, bagi sebahagian besar pulau itu.

Angin kencang sehingga 120 km/j diramalkan di kawasan pergunungan, manakala ombak setinggi 10m mungkin melanda pantai timur dan selatan.

Bagi kawasan terbabit, perkhidmatan cuaca mengeluarkan amaran jingga, tahap amaran kedua tertinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.