3 maut Taufan Kajiki badai Vietnam

3 maut Taufan Kajiki badai Vietnam

Taufan itu menyebabkan hampir 7,000 rumah rosak, 28,800 hektar sawah padi ditenggelami air dan 18,000 pokok tumbang.

storm
Taufan Kajiki menyebabkan 331 tiang elektrik tumbang dan gangguan bekalan elektrik besar-besaran. (Gambar VNExpress/AP)
HANOI:
Sekurang-kurangnya tiga maut dan 10 lagi cedera selepas Taufan Kajiki membadai Vietnam, kata pihak berkuasa yang memberi amaran hujan lebat boleh mengakibatkan banjir dan tanah runtuh.

Kerajaan dalam kenyataan berkata, ribut itu merosakkan hampir 7,000 rumah, menenggelamkan 28,800 hektar tanaman padi dan menumbangkan 18,000 pokok.

Taufan itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran di wilayah Thanh Hoa, Nghe An, Ha Tinh, Thai Nguyen dan Phu Tho akibat 331 tiang elektrik tumbang.

Gambar disiarkan media kerajaan menunjukkan jalan raya di ibu negara Hanoi ditenggelami air susulan hujan lebat pagi tadi.

Menurut agensi meteorologi, selepas mendarat di pantai tengah utara Vietnam petang semalam, Kajiki bertukar lemah menjadi lekukan tropika ketika bergerak ke Laos pagi tadi.

Agensi itu memberi amaran hujan akan berterusan di beberapa bahagian utara Vietnam, dengan sesetengah kawasan akan menerima taburan hujan sehingga 150mm dalam enam jam yang berisiko menyebabkan banjir kilat serta tanah runtuh.

Sebelum mendarat di Vietnam, Kajiki menghampiri pantai selatan Pulau Hainan di China Ahad lalu yang memaksa penutupan perniagaan dan sistem pengangkutan awam digantung di bandar Sanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.