Sehingga 10 cedera susulan ribut di Sijangkang

Sehingga 10 cedera susulan ribut di Sijangkang

Mangsa yang cedera termasuk seorang wanita berusia 51 tahun yang terperangkap di bawah runtuhan pejabat penyelaras DUN Sijangkang.

Runtuhan Bangunan
Susulan ribut melanda kawasan Sijangkang, Kuala Langat petang tadi, bangunan Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang runtuh mengakibatkan seorang wanita tertimbus. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Sehingga 10 orang termasuk seorang wanita tertimbus di bawah runtuhan bangunan dan murid Kelas Al-Quran & Fardu Ain (Kafa) cedera selepas ribut melanda Sijangkang, Kuala Langat, petang tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian bangunan Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang runtuh kira-kira 4.24 petang.

“Terdapat seorang mangsa wanita berusia 51 tahun terperangkap di bawah runtuhan. Mangsa dalam keadaan sedar,” katanya dalam kenyataan.

“Pada 5.05 petang, mangsa berjaya dikeluarkan dan (dia didapati) mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan peha.”

Menurut bomba, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk menerima rawatan.

Kejadian runtuhan itu turut melibatkan sebuah surau Kafa berhampiran.

“Terdapat anggaran 7 hingga 9 orang pelajar mengalami kecederaan ringan,” menurut bomba.

Seramai tujuh anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas dilaporkan terlibat dalam operasi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.