
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, menggunakan tema berasingan untuk sambutan Hari Kebangsaannya akan memberi kesan buruk kepada gabungan itu, yang akan dituduh mengeksploitasi perkara itu demi kepentingan politik dan menggalakkan perpecahan.
“Jika mereka rasa (logo dan tema) tidak sesuai dan mahu menggunakan logo serta tema sendiri, itu hak mereka berbuat demikian, tetapi rakyat akan merasakan mereka mempolitikkan perkara itu.
“Seterusnya, rakyat akan melihat mereka tidak mara selepas pilihan raya apabila tiba masanya untuk bekerjasama membina negara,” katanya kepada FMT.
Tetapi, Awang Azman berkata, langkah kerajaan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis menggunakan tema kerajaan persekutuan menandakan kesediaan PN mengetepikan politik dan menggalakkan perpaduan sempena Hari Kebangsaan.
Katanya, kerajaan negeri boleh menyelaras tema itu sedikit untuk memenuhi sentimen tempatan dan keperluan negeri masing-masing.
Pada 19 Ogos lalu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” sebagai tema alternatif selepas mendakwa pilihan kerajaan perpaduan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” bernada politik. Katanya, kerajaan sepatutnya memilih tema lebih neutral.
Pertikaian sama timbul pada 2012, apabila Pakatan Rakyat enggan menggunakan “Merdeka 55: 1Malaysia, Janji Ditepati”, tema dicipta kerajaan Najib Razak. Sebaliknya, pakatan pembangkang menggunakan tema sendiri “Sebangsa, Senegara, Sejiwa”.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, ramai rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik mereka mungkin terkejut dengan keengganan Pakatan Harapan (PH) melayan cadangan tema Hari Kebangsaan PN.
Katanya, hipokrit bagi PH mengkritik cadangan PN disebabkan pendiriannya mereka berhubung perkara itu ketika menjadi pembangkang.
Isnin lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menggesa semua kerajaan negeri menggunakan tema dan logo kerajaan persekutuan kerana sambutan Hari Kebangsaan tidak patut dipolitikkan.
Walaupun ragu-ragu dengan pilihan tema itu, Lau berkata, majoriti rakyat mahu melihat PN mengetepikan politik kerana Hari Kebangsaan adalah sambutan untuk semua rakyat Malaysia.
“Menggunakan tema sama tentunya lebih baik.”