
Dalam titahnya ketika istiadat angkat sumpah ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan wakil rakyat bahawa mereka dipilih bagi mentadbir negeri, justeru keperluan asas, kos sara hidup, dan pemulihan ekonomi perlu sentiasa dititikberatkan.
Kepada kerajaan baharu yang terbentuk, Sultan Selangor mahu ia segera mengatasi kepincangan dari segi prasarana dan pembangunan, dan masalah berkaitan kehidupan harian rakyat.
“Apalah gunanya kita berbangga dengan pencapaian kemajuan ekonomi yang pesat serta status negeri kaya serta kejayaan mencatat keluaran dalam negeri kasar tertinggi di Malaysia seandainya masalah keperluan asas rakyat pun tidak mampu diuruskan dengan baik,” katanya di Istana Alam Shah, Klang petang tadi.
“Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, beta pun dah penat dengar.”
Sementara itu, Sultan Sharafuddin memaklumkan bahawa Selangor mula ketinggalan berbanding Pulau Pinang, Johor, dan Sarawak dari segi pelaburan dan nilai eksport barangan.
“Kejatuhan ini mungkin tanpa kita sedari dan kita dilihat gagal untuk segera mengatasinya. Ahli-ahli Yang Berhormat perlu sedar dengan fakta dan realiti ini,” katanya.
Sambil itu, Sultan Selangor mengingatkan ahli-ahli politik agar sentiasa menjaga integriti serta menjauhi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Sultan Sharafuddin turut membidas penggunaan kata-kata kesat dan biadab oleh ahli-ahli politik ketika berkempen, dengan mengheret institusi raja ke dalam ceramah mereka.
Katanya, keadaan itu menggambarkan terhakisnya rasa hormat pihak terbabit terhadap institusi raja, dan sikap biadab yang melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Melayu.
“Ingatlah jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular di kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup hadir ke negeri ini dengan melemparkan cacian melampaui batas,” katanya.
Di samping menyeru semua pihak agar menghentikan budaya caci-mencaci kerana ia boleh menjejaskan keharmonian, Sultan Selangor juga meminta semua orang Melayu mengelakkan persengketaan yang boleh membawa kepada perpecahan.
“Beta perhatikan politik telah banyak memecah-belahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit. Cukuplah apa yang telah berlaku.
“Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir,” tegasnya.