
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh SKMM susulan aduan rasmi dibuat orang awam.
“Siasatan dijalankan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.
“Sekiranya ada laporan polis dibuat, perkara tersebut adalah berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Fahmi juga menggesa Majlis Media Malaysia sebagai sebuah badan bebas, memainkan peranan diperuntukkan kepadanya, iaitu memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan bertanggungjawab dan tepat
Katanya, Majlis Media Malaysia menjadi platform pengawalseliaan kendiri bagi menangani aduan dan isu berkaitan media secara profesional dan berintegriti.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan komen yang melampau atau bersifat fitnah, khususnya di media sosial, serta sentiasa menghormati institusi raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya.
Semalam, China Press dalam satu hantaran di Facebook memuat naik laporan titah Sultan Ibrahim dengan tajuk ‘tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia’ sebelum menukarnya kepada ‘kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia’.