Anak ketiga Idris hanya sempat rasai kasih sayang ayah 56 hari

Anak ketiga Idris hanya sempat rasai kasih sayang ayah 56 hari

Abang ipar mangsa, Ahmad Faizal Ahmad Rusli berkata beliau dan adik-beradik lain akan membantu membesarkan tiga anak Idris Abdol Talib kerana isterinya tidak bekerja.

Jenazah Idris Abdol Talib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak di Benus, Bentong 3 petang tadi. (Gambar Bernama)
KLANG:
Anak ketiga Idris Abdol Talib, 41, hanya sempat merasai kasih sayangnya selama 56 hari, sebelum beliau terkorban dalam nahas pesawat peribadi terhempas di Elmina, Shah Alam Khamis lalu.

Difahamkan, isterinya, Adlina Aisyah Ahmad Rusli, 41, baru melahirkan anak bongsu mereka kira-kira dua bulan lalu.

Abang ipar mangsa, Ahmad Faizal Ahmad Rusli.

Abang ipar mangsa, Ahmad Faizal Ahmad Rusli, 56, berkata selaku abang sulung, beliau bersama adik-beradik lain akan membantu membesarkan tiga anak arwah memandangkan Adlina tidak bekerja.

“Setakat ini, semuanya reda dengan pemergian Idris, meskipun masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Ar-Rahimiah.

Balu mangsa, Adlina Aisyah Ahmad Rusli.

Seorang lagi abang ipar mangsa, Ahmad Faris Ahmad Rusli berkata keluarganya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terbabit dalam menguruskan jenazah arwah.

Katanya, semua proses berjalan lancar dan jenazah dibawa pulang ke kampung halamannya di Pahang untuk disolatkan sekali lagi di Masjid Tengku Sulaiman, Ketari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak di Benus, Bentong.

“Alhamdulillah, jenazah adik ipar saya dapat dalam keadaan sempurna dari hujung kepala sampai ke kaki.”

Faizal dan Faris menyifatkan arwah pendiam dan suka menolong orang.

“Dia orang yang sangat mudah, dia belajar agama dan hanya cakap benda yang perlu,” kata Faris.

Khamis lalu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang membawa enam penumpang dan dua kru terhempas di Lebuhraya Guthrie dekat Elmina, Shah Alam.

Selain Idris, mangsa korban lain ialah Exco Pahang merangkap Adun Pelangai Johari Harun, pegawai khasnya Muhammad Taufiq Mohd Zaki, dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta penumpang lain Khairil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar dan Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, serta dua orang awam, iaitu penunggang p-panggilan Muhamad Hafiz Muhamad Saleh dan pemandu e-panggilan Sharipuddin Shaari.

Idris ialah pegawai penguat kuasa di Pejabat Agama Islam Daerah Raub, sebelum bercuti tanpa gaji awal tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.