
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata terdapat beberapa jenazah dan keranda yang terkeluar daripada liang lahad, selain batu nisan di kawasan perkuburan berkenaan turut tercabut daripada tanah.
Beliau bagaimanapun berkata kebanyakan jenazah yang terkeluar daripada liang lahad itu telah diuruskan oleh penduduk kampung.
“Kawasan tanah perkuburan itu akan dibaik pulih dengan kadar segera.
“Saya akan berbincang lebih lanjut dengan jawatankuasa penduduk dan masjid di kawasan berkenaan,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara SK Simpang.
Dalam pada itu, Syed Abu Hussin berkata mangsa banjir terdiri daripada warga emas yang mempunyai sakit kronik serta golongan ibu yang mempunyai bayi kecil yang berada di bawah Parlimen Bukit Gantang akan ditempatkan di Hotel Taiping Perdana.
Beliau berkata mangsa terbabit ditempatkan di hotel berkenaan bagi memberi keselesaan disebabkan keadaan PPS sedia ada tidak begitu sesuai bagi golongan berkenaan.
Setakat pukul 4 petang tadi, sebanyak 2,496 penduduk daripada 857 keluarga dipindahkan di 24 PPS di Larut Matang Selama, Kerian, Manjung dan Perak Tengah.