
Dalam episod audio siar Keluar Sekejap, Shahril berkata Anwar mempunyai ruang mengemudi kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN), dan ia juga satu ujian bagi melihat sama ada Anwar cukup berani untuk bekerjasama dengan kumpulan lain dalam Umno.
“Ini akan menjadi satu ujian kepada pentadbiran Anwar, adakah beliau cukup berani untuk menggunakan ruang yang ada, bagi memberi ‘signal’ (isyarat) beliau boleh bekerjasama dengan kumpulan lain dalam Umno,” katanya.
Katanya, PH sering menggunakan skrip bahawa mereka tidak boleh menentukan apa yang berlaku pada Umno. Bagaimanapun, Anwar boleh menentukan apa yang berlaku dalam parti itu, kerana beliau seorang “enabler” (pemboleh).
“Menteri dalam negeri mana yang meluluskan keputusan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP) untuk menghalang jawatan ‘Top 2’ Umno dipertandingkan?” kata Shahril.
“Dan siapa dalam kempen pilihan raya negeri sering berkata bahawa (presiden Umno) Zahid Hamidi adalah hero, wira, dan penyelamat kepada Umno?”
Pada Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang juga setiausaha Agung PKR dan PH, mengesahkan Umno diberikan pengecualian dalam resolusi dibuat pada perhimpunan agung supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Anwar mempertahankan Saifuddin selepas keputusan itu dikritik, dan berkata undang-undang menyatakan JPP perlu merujuk perkara itu kepada menteri dalam negeri yang diberi “kuasa tertentu”. Mengikut Akta Pertubuhan 1966, menteri dalam negeri boleh memberi pengecualian kepada mana-mana pertubuhan daripada peraturan akta tersebut.