

Bilcher Bala, Syahruddin Awang Ahmad dan Arvin Tajari senada syarat itu perlu bagi memastikan kestabilan politik yang diperlukan untuk membangunkan Sabah, tidak diganggu-gugat.
Mereka turut berpendapat, BN dan Umno perlu relevan dengan mengurangkan tuntutan berlebihan memandangkan pengaruhnya semakin berkurangan serta kedudukannya tidak lagi dominan seperti sebelum 2018.
Bilcher dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, Umno dan BN Sabah tidak mempunyai banyak pilihan untuk menjalinkan kerjasama politik dengan GRS dilihat lebih kukuh serta dominan berbanding Warisan.
“Warisan ialah pesaing langsung yang boleh menimbulkan konflik perebutan pengaruh manakala kerjasama dengan GRS beri BN peluang mengekalkan relevansi politik dan kestabilan kerajaan negeri.
“Dalam konteks ini GRS wajar tetapkan syarat walaupun Umno/BN semakin lemah, ini sebagai mekanisme kawalan untuk mengelakkan pengulangan konflik lama dan memastikan kestabilan politik jangka panjang,” katanya kepada FMT.
Rabu lalu, FMT melaporkan kenyataan Mohd Kurniawan Naim Moktar yang mengekalkan Parlimen Kinabatangan dan kejayaan BN mempertahankan Lamag pada PRK 24 Jan, memberi isyarat kerjasama dengan GRS perlu diperluas kepada politik bukan hanya pentadbiran.
Bendahari Pemuda Umno itu mengakui kemenangannya ke atas Warisan dengan majoriti 14,214 undi turut disumbangkan rakan dalam kerajaan seperti GRS dan Pakatan Harapan (PH) yang turun membantu kempen.
Pada PRN Sabah tahun lalu, BN berseteru dengan GRS yang bagaimanapun bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan selepas pilihan raya.
BN mencatat antara prestasi terburuk di Sabah apabila hanya menang enam DUN pada PRN itu dan pemerhati politik meramalkan tujuh kerusi Parlimen disandangnya kini berisiko jika ia tidak menjalinkan kerjasama.
Komited terhadap agenda
Syahruddin yang juga dari UMS pula berpandangan, antara syarat perlu dipertimbang termasuk menggesa BN komited terhadap agenda ‘Sabah First’ serta menjamin tiada cubaan merampas kuasa pada masa depan, merujuk peristiwa ‘Langkah Kinabalu’.

Episod politik itu menyaksikan usaha menjatuhkan pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor gagal ketika itu.
“Umno/BN juga wajar kendurkan tuntutan keterlaluan kerana realiti politik semasa menunjukkan mereka bukan lagi kuasa tunggal, formula agihan kerusi mesti mencerminkan kekuatan sebenar di lapangan dan bukan berdasarkan sentimen sejarah semata-mata.
“Tuntutan jawatan dalam kerajaan juga perlu realistik dengan menghormati mandat dipegang GRS sebagai peneraju utama pentadbiran negeri,” kata Syahruddin.

Arvin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berkata, Umno dan BN perlu memikirkan kelangsungannya di Sabah dengan memilih kerjasama terbaik selepas mencatat prestasi kurang baik pada PRN Sabah, November lalu.
Katanya, kemenangan pada PRK Kinabatangan dan Lamag bukan petanda mereka diterima oleh masyarakat sebaliknya ada faktor lain seperti GRS tidak bertanding yang turut diterjemahkan dengan sokongan ahlinya.
“Oleh itu, rundingan agihan kerusi dan jawatan perlu diterima dengan memikirkan survival Umno/BN ke depan, ini perlu diperhalusi untuk PRU16 akan datang,” katanya.