Pesawat melencong sebelum terhempas, kata menteri

Pesawat melencong sebelum terhempas, kata menteri

Loke Siew Fook berkata pihak berkuasa telah melancarkan semua protokol keselamatan dan siasatan sejurus nahas berlaku.

Loke Siew Fook meminta semua pihak tidak buat spekulasi berhubung punca nahas.
SUBANG JAYA:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata maklumat awal menunjukkan pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina, petang tadi melencong ke sebelah kanan daripada laluannya.

Loke berkata Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan sudah digerakkan ke tapak nahas sejurus kejadian, bagi misi mencari kotak hitam pesawat.

“Daripada pengamatan awal, pesawat itu melencong ke tepi (menghala) ke sebelah kanan daripada laluan yang sepatutnya.

“BSKU sudah diaktifkan ke lokasi nahas dan mereka sedang berada di lokasi untuk mencari kotak hitam,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).

Beliau juga menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung punca nahas dan menunggu hasil siasatan yang sedang berjalan.

Menurut Loke, mengikut senarai pendaftaran, penumpang berada di pesawat itu dikenali exco Pahang Johari Harun, Khairil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Zaki, dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Kru pesawat terdiri daripada juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan pembantunya, Heikal Aras Abdul Azim.

Turut maut penunggang motosikal dan pemandu kereta yang terkena serpihan pesawat.

Kata Loke, mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk tujuan pengesahan identiti.

Dalam sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Norazman Mahmud berkata pesawat milik Jet Valet Sdn Bhd itu berstatus “layak terbang”, malah juruterbang juga seorang yang berpengalaman dan mempunyai lesen sah.

Pesawat Beechcraft Model 390 dengan nombor pendaftaran N28JV itu berlepas dari Langkawi menuju ke LTSAAS sebelum terhempas di Lebuhraya Guthrie kira-kira jam 3 petang.

CAAM juga mengesahkan pesawat itu tidak membuat panggilan kecemasan atau “mayday” sebelum terhempas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.