Beberapa kenderaan rosak dihempap struktur bumbung runtuh

Beberapa kenderaan rosak dihempap struktur bumbung runtuh

Kejadian malam tadi di Jalan Kuchai Lama itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Keadaan beberapa kenderaan yang rosak akibat dihempap struktur bumbung premis lima tingkat yang runtuh malam tadi. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Beberapa kenderaan mengalami kerosakan teruk susulan sebahagian struktur bumbung di sebuah premis lima tingkat di Jalan Kuchai Lama, di sini, runtuh malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi, berkata kejadian yang berlaku pada kira-kira 10.30 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata pihak bomba telah melakukan pemeriksaan di setiap tingkat dan mengesahkan tiada mangsa terlibat.

“Buat masa ini, polis dan pihak bomba terpaksa menutup premis berkenaan sebagai langkah keselamatan daripada sebarang aktiviti sehingga ia disahkan selamat.

“Punca kejadian runtuh itu juga sedang disiasat pihak bomba,” katanya ketika dihubungi tengah malam tadi.

Terdahulu, kejadian berkenaan dirakam penduduk berhampiran sebelum ia tular di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.