
BN kalah teruk apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi iaitu 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Selangor dan satu di Kelantan manakala kalah semua di Kedah dan Terengganu.
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata bekas timbalan presidennya itu yang lebih dikenali sebagai Tok Mat dilihat mempunyai kelebihan berbanding Zahid.
“Tetapi setiap saat dia (Tok Mat) bersama Zahid, nilai ekuitinya turun dan kita tak boleh nafikan perkara ini,” katanya dalam Podcast Sekejap dihoskannya bersama bekas Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan.
Sementara itu, Shahril berkata kemungkinan pilihan “jurujual” yang tiada kredibiliti menyebabkan masih ramai ahli akar umbi Umno enggan menerima kerjasama dengan DAP.
“Masalahnya dalam Umno, tukang jual naratif ini individu dan kelompok tidak akan dipercayai ahli. Tiada kredibiliti.
“Anda perlukan tukang jual yang betul untuk membawa sesuatu mesej yang baharu dan mencabar,” katanya.
Beliau berkata, selepas kekalahan terbaharu Umno itu, tiada pemimpin dalam parti itu yang berani untuk menyuarakan sesuatu selain bekas ketua Umno Terengganu, Idris Jusoh yang meminta Zahid meletak jawatan.