Turun awal bimbang cuaca tak menentu sebelah petang, gesa Amirudin

Turun awal bimbang cuaca tak menentu sebelah petang, gesa Amirudin

Pengerusi PH Selangor berkata beliau optimis kembali membentuk kerajaan negeri dengan menang maksimum 41 daripada 56 kerusi.

Amirudin Shari menggesa pengundi turun awal bagi mengelak sebarang kesulitan atas faktor cuaca.
SELAYANG:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menggesa keluar mengundi awal susulan kebimbangan keadaan cuaca tidak menentu pada petang.

Katanya, pengundi Selangor perlu mengambil kesempatan menunaikan tanggungjawab memberi mandat baharu.

“Ambil kesempatan tunai tanggungjawab…berikan peluang kepada anda pilih pentadbiran negeri dalam lima tahun lagi,” katanya selepas mengundi di SJK (C) Selayang Baru.

Mengulas keyakinan Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) kembali membentuk kerajaan baharu, beliau berkata, “70-80% kita optimistik bentuk kerajaan negeri.”

“Saya harap dapat menang 40 ke 41 kerusi menang,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi dengan PH bertanding di 44 kerusi, manakala BN bertanding 12 kerusi.

Terdahulu, Amirudin yang juga pengerusi PH negeri tiba di SJK (C) Selayang Baru bersama isteri Masdiana Muhamad tiba 8.24 pagi, untuk mengundi.

Beliau yang memakai jersi kelab bola sepak Selangor berwarna merah sempat menjawab soalan ringkas berhubung perasaannya ketika ini.

“Saya ‘okay’, masanya untuk mengundi,” katanya ringkas.

Katanya, beliau bersama isteri menaiki motosikal bagi mengelak kesesakan.

“Datang naik motor (motosikal)…sesak kalau datang naik kereta akan menyusahkan orang,” katanya.

Amirudin bertanding mempertahan Dusun Tua dalam saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional, Hanif Jamaluddin dan calon bebas, Suman Gopal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.