Buru menantu bekas PM tiada kaitan dengan PRN, kata Azam Baki

Buru menantu bekas PM tiada kaitan dengan PRN, kata Azam Baki

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata, mereka telah cuba menghubungi Adlan Berhan sejak beberapa bulan lepas tetapi 'tidak berjaya'.

Azam Baki memberitahu Adlan Berhan agar tidak lagi memberikan alasan dan ‘balik saja’ ke Malaysia.
PETALING JAYA:
Azam Baki menafikan dakwaan bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memburu menantu bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, bagi membantu siasatan berhubung sebuah projek kerajaan, mempunyai kaitan dengan PRN.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata, mereka telah cuba menghubungi Adlan Berhan sejak beberapa bulan lepas tetapi “tidak berjaya”.

Azam berkata, ada pihak yang mempersoalkan masa agensi antirasuah itu, memandangkan PRN akan diadakan di enam negeri Sabtu ini.

“Kita hubungi dia sejak Jun, sekarang sudah Ogos. Tiap kali pegawai saya telefon dia beri alasan (akan balik tetapi tak laksanakan).

Adlan Berhan.

“Jika kamu penyiasatnya, berapa lama kamu boleh tunggu? Tiada kaitan dengan pilihan raya,” katanya, lapor Malaysiakini.

Azam menjawab kenyataan peguam Adlan, Baljit Singh Sidhu hari ini yang mengkritik tindakan SPRM mengeluarkan siaran akhbar pada Isnin, kurang seminggu sebelum PRN, “mencadangkan bahawa terdapat unsur politik dalam keseluruhan proses itu” .

Baljit juga berkata, Adlan tidak pernah ditangkap mahupun dipanggil oleh SPRM untuk membantu dalam sebarang siasatan sebelum dia ke luar negara.

SPRM sebelum ini berkata, Adlan dan peguam, Mansoor Saat, ke luar negara pada Mei.

SPRM sedang menjejaki kedua-dua individu tersebut bagi membantu siasatan berhubung projek melibatkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Azam memberitahu Adlan agar tidak lagi memberikan alasan dan “balik saja” selepas Adlan berkata dia akan pulang ke Malaysia sebaik sahaja tiada lagi “unsur ancaman dan pendakwaan” terhadapnya.

Azam turut mengingatkan Baljit bahawa beliau mempunyai tanggungjawab sebagai ahli profesional perundangan untuk membantu SPRM dalam siasatannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.