Hamzah perlu undur atau dipecat demi selamatkan Bersatu, kata pimpinan Selangor

Hamzah perlu undur atau dipecat demi selamatkan Bersatu, kata pimpinan Selangor

Rafiq Abdullah berkata Lembaga Disiplin Bersatu bertindak terhadap laporan membabitkan Hamzah Zainudin.

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin sebelum ini menafikan hubunganya dengan Muhyiddin Yassin tegang termasuk menolak dakwaan wujud dua kem dalam Bersatu.
PETALING JAYA:
Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor Rafiq Abdullah menggesa Hamzah Zainudin berundur daripada jawatan timbalan presiden atau dikenakan tindakan disiplin tegas kerana didakwa menjadi punca utama kemelut dalaman parti itu.

Rafiq berkata beberapa laporan terhadap Hamzah telah dikemukakan oleh ahli parti kepada Lembaga Disiplin Bersatu berhubung dakwaan penglibatan dalam gerakan terancang untuk melemahkan Presiden Muhyiddin Yassin.

“Kita lihat usaha ini untuk menjatuhkan presiden sudah terlalu lama dan kita dah penat.

“Demi keharmonian dan perjuangan parti ini, saya rasa sampai masanya parti melalui Lembaga Disiplin Bersatu bertindak tegas,” katanya kepada FMT dengan menggesa Ahli Parlimen Larut terbabit dipecat.

Hamzah sebelum ini menafikan hubunganya dengan Muhyiddin tegang termasuk menolak dakwaan wujud dua kem dalam parti itu selain mendakwa cerita itu sengaja diadakan bagi mewujudkan perpecahan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

 Rafiq Abdullah.
Rafiq Abdullah.

Namun, ketua pembangkang itu terus dikaitkan dengan dakwaan wujud usaha menyokong perpecahan dalaman parti, yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin, termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, serta penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dalam pada itu, Rafiq turut mempersoalkan sikap Hamzah yang didakwa gagal mengawal penyokongnya walaupun Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) telah memutuskan supaya semua pihak menghentikan serangan dalaman.

“MPT kata kita kena buat genjatan senjata, semua setuju tapi orang Hamzah masih hentam. Belum ada satu kenyataan rasmi dari timbalan presiden minta hentikan.

“Masih ada kenyataan terbaru yang dibuat (oleh bahagian Kepong dan Selayang),” kata Adun Kuang itu.

Sebelum ini, timbul dakwaan pemecatan Hamzah yang kononnya dibincangkan pada mesyuarat MPT Bersatu pada bulan lalu, namun dinafikan beberapa pemimpinnya.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan dilaporkan berkata dakwaan terbabit hanya propaganda politik individu tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.