SPRM tahan pengerusi IJM Corporation

SPRM tahan pengerusi IJM Corporation

Suspek yang berusia lingkungan 70-an itu ditahan selepas SPRM menggeledah kediamannya, semalam.

WISMA IJM BUILDING
Sumber berkata penahanan pengerusi IJM Corporation Berhad itu berhubung kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pengerusi IJM Corporation Berhad berhubung kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu telah ditahan kira-kira 7 malam, semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“SPRM telah melakukan pemeriksaan dan penggeledahan di tiga lokasi baharu iaitu sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan selain sebuah bank pelaburan dan kediaman suspek.

“Siasatan awal mendapati bank pelaburan itu telah dilantik untuk menguruskan proses tawaran pengambilalihan ke atas IJM Corporation Berhad termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri,” katanya.

Tambah sumber, siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.

“Setakat ini 15 orang saksi termasuk isteri suspek telah dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan suspek telah dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil memandangkannya turut mengalami masalah kesihatan.

“Fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

BOK pada 19 Jan lalu telah menjalankan siasatan terhadap suspek berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 billion di luar negara dan potensi elemen kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.

Sehubungan itu, SPRM telah membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah kira-kira RM30.6 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.