Calon PH Machang Bubuk pengsan akibat keletihan

Calon PH Machang Bubuk pengsan akibat keletihan

Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, Lee Khai Loon telah sedar dan dalam keadaan stabil tanpa sebarang penyakit serius.

Lee Khai Loon rebah sebaik tiba di pusat khidmatnya selepas pulang daripada berkempen di kawasan Machang Bubuk kira-kira 11 pagi tadi. (Gambar Facebook)
BUKIT MERTAJAM:
Calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi kerusi DUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dilaporkan pengsan di pusat khidmatnya di sini.

Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, Lee, 45, rebah sebaik tiba di pusat khidmatnya selepas pulang daripada berkempen di kawasan Machang Bubuk kira-kira 11 pagi tadi.

“Khai Loon mungkin keletihan akibat cuaca panas pagi ini, namun beliau telah sedar seketika tadi dan dalam keadaan stabil sekarang, tiada apa-apa (penyakit) yang serius dengan Khai Loon…beliau tidak dihantar ke hospital dan berehat di rumahnya hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, semua program dan kempen Lee hari ini dibatalkan, namun jentera parti akan meneruskan kempen dirancang, termasuk menemui pengundi di kawasan itu.

“Beliau memang kuat bekerja dan saya difahamkan sejak memulakan kempen pada 29 Julai lepas, beliau turun padang untuk bertemu sebanyak mungkin pengundi di kawasan Machang Bubuk.”

Penyandang DUN Machang Bubuk itu akan bertembung calon Perikatan Nasional, Tan Hum Wei pada 12 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.