Spesies baharu labah-labah, cicak ditemui di hutan Perlis

Spesies baharu labah-labah, cicak ditemui di hutan Perlis

Penemuan itu dibuat sekumpulan saintis yang melakukan ekspedisi kajian di hutan simpan Perlis.

Saintis menemui cicak dari spesies ‘Cyrodactylus Zebraicus’ ketika Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis. (Gambar thainationalparks.com)
KANGAR:
Sepasukan saintis yang menyertai Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis menemukan labah-labah daripada spesies ‘tribes spider’ dan cicak ‘Cyrtodactylus zebraicus’ di Hutan Simpan Negeri Perlis.

Ketua penyelidik ekspedisi itu Amirrudin Ahmad berkata labah-labah berkenaan merupakan spesies endemik dan hanya terdapat di negeri ini.

“Labah-labah ini merupakan spesies baharu yang pertama kali dijumpai dan kita dalam proses memberi nama,” katanya kepada pemberita pada Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis (Hutan Simpan Bukit Bintang).

Seminar dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Mohd Ridza Awang itu turut dihadiri Exco Alam Sekitar Perlis Megat Hashirat Hassan dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni.

Amirrudin Ahmad.

Amirrudin yang juga pengarah Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata ekspedisi berkenaan dijalankan pada 17 hingga 20 Oktober tahun lepas.

“Di Malaysia cicak berkenaan pula hanya terdapat di Perlis dengan dipercayai berasal dari Thailand dan masuk ke negara ini menerusi Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand,” katanya dan menambah cicak itu lazimnya ditemukan di tanah pamah dan hutan separa daun luruh.

Sementara itu, Ridza berkata penemuan spesies berkenaan yang didokumentasikan mampu menarik peminat hidupan liar datang ke negeri ini sekali gus sebagai tarikan ekopelancongan.

“Sebagai contoh peminat burung akan datang ke sini (Perlis) apabila mendapat maklumat bahawa terdapat spesies burung yang mereka minati atau jarang dijumpai, ” katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa berusaha menganjurkan ekspedisi saintifik bagi tujuan dokumentasi kandungan kepelbagaian biologi yang ada dalam kawasan hutan.

“Sehingga kini Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menganjurkan 42 siri ekspedisi saintifik di seluruh negara dan setiap ekspedisi itu akan disusuli dengan seminar saintifik bagi membolehkan pengkaji membentangkan penemuan mereka mengikut kepakaran masing-masing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.