‘Cicak’ dalang 22 kes pecah rumah ditahan

‘Cicak’ dalang 22 kes pecah rumah ditahan

Lelaki berusia 42 tahun dipercayai melakukan jenayah secara solo itu ditahan di sebuah bilik hotel di Melaka 16 Okt lalu.

cicak
Polis turut merampas barangan antaranya cincin, rantai, loket dan gelang daripada suspek. (Gambar PDRM)
MELAKA:
Seorang lelaki dikenali dengan panggilan ‘Cicak’ ditahan kerana disyaki terlibat 22 jenayah pecah rumah di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah sejak awal tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Md Nazri Zawawi, berkata lelaki berusia 42 tahun dipercayai melakukan jenayah secara solo itu ditahan di sebuah bilik hotel di Angkasa Nuri, kira-kira 4.20 petang 16 Okt lalu.

Beliau berkata, polis turut merampas barangan antaranya barang kemas seperti cincin, rantai, loket, gelang selain pelbagai jenis telefon bimbit, pakaian berjenama dan motosikal dianggarkan bernilai RM150,000.

“Suspek yang dikenali dengan panggilan ‘Cicak’ itu menyasarkan rumah tidak berpenghuni sebelum memecah masuk premis terbabit dan mencuri pelbagai barang berharga.

“Berdasarkan rekod, suspek melakukan jenayah pecah rumah terbabit di sekitar Melaka Tengah serta Alor Gajah dan setakat ini, sebanyak 22 rumah dipercayai dipecah masuk oleh lelaki terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nazri berkata, polis turut merampas beg hitam mengandungi satu plastik lut sinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan berat dianggarkan 5.34g.

Katanya, saringan ujian air kencing dijalankan terhadap lelaki berkenaan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain turut memiliki 14 rekod jenayah lampau termasuk 10 kes pecah rumah.

Suspek direman 10 hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun selain denda dan sebat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.