
Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Darshan Singh Mahinder, berkata ini kerana ada peruntukan dalam RUU itu yang mengancam penggunaan ketum.

“Penyelidik ketum membantah pindaan ini kerana bukti saintifik menunjukkan ketum dan bahan psikoaktif utamanya, ‘mitragynine’ tidak mengandungi risiko ketagihan, bermakna ia tidak menagihkan seperti morfin dan heroin.
“Ketum sebaliknya digunakan sebagai bahan yang selamat dan murah untuk menghentikan ketagihan, dengan kata lain membantu penagih keluar daripada ketagihan,” katanya kepada FMT.
Beliau yang berpengalaman lebih 17 tahun dalam kajian membabitkan ketum berkata, pihak berkuasa juga perlu berdepan isu penyeludupan ketum dari Thailand yang menjadi alternatif murah dan mudah oleh sindiket pengedaran dadah, jika penggunaan ketum dijadikan satu jenayah.
“Adakah dengan menjadikan pengguna ketum sebagai penjenayah akan mengurangkan kadar penyalahgunaan dadah dalam negara?
“Penyelidik menjangkakan penyalahgunaan dadah akan lebih teruk kerana ramai beralih kepada dadah sekali gus menjadikan lebih ramai individu terlibat aktiviti pengedaran dadah,” katanya.
Darshan berkata, selain itu pindaan akan memberikan kesan terhadap penggunaan ketum secara tradisional oleh petani dan masyarakat luar bandar yang menggunakannya sejak sekian lama.
Dewan Rakyat meluluskan RUU Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 sebulat suara selepas kali terakhir ia dipinda 20 tahun lalu.
Ia diluluskan secara majoriti, dengan hampir 40 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terlibat dalam sesi perbahasan selepas dibentangkan untuk bacaan kedua pada 9 Julai lalu.
Pindaan RUU itu antara lain mencadangkan perluasan Akta Penagih Dadah supaya turut merangkumi penagih bahan dan penyalahgunaan dadah atau bahan, serta skop rawatan dan pemulihan.