Mahu tingkat kadar kelahiran? Selesai dulu masalah ibu bapa, kerajaan diberitahu

Mahu tingkat kadar kelahiran? Selesai dulu masalah ibu bapa, kerajaan diberitahu

Kebimbangan tentang kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan pendidikan mempengaruhi keputusan tentang saiz keluarga, menurut aktivis.

riadah taman
Keseimbangan lebih baik antara kerja dengan kehidupan serta waktu kerja yang fleksibel akan membantu pasangan berasa lebih yakin untuk mempunyai anak, menurut penyelidik.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menangani isu asas berkait kos sara hidup dan akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan pusat penjagaan bayi dalam usaha menangani kemerosotan kadar kesuburan negara.

Seorang menteri baru-baru ini berkata, kerajaan mahu menggalakkan golongan muda untuk berkahwin dan mempunyai anak, kerana wanita semakin kurang mempunyai anak, menjurus kepada masyarakat yang semakin tua.

Dr Choong Sim Poey daripada Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia berkata, tidak produktif untuk sekadar taksub dengan meningkatkan jumlah penduduk jika punca asasnya tidak ditangani.

Katanya, keputusan mengenai saiz keluarga dibuat berdasarkan faktor-faktor seperti akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan pusat penjagaan bayi, yang harus ditangani dengan jelas terlebih dahulu.

“Ibu bapa (juga) perlu mempertimbangkan kos untuk mempunyai lebih ramai anak, sementara kerajaan perlu prihatin tentang kualiti generasi akan datang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, sumber, pembiayaan dan perkhidmatan sosial yang mencukupi diperlukan untuk menampung populasi menua.

“(Langkah) mempunyai anak tidak menyelesaikan cabaran hari ini dalam menyokong negara menua. Ia membantu meningkatkan tenaga kerja pada masa akan datang, tetapi tidak menyelesaikan kelemahan dalam kesediaan menyokong golongan lebih tua,” katanya.

Nik Norliati Fitri Nor, seorang penyelidik demografi dan populasi menua di Universiti Sains Malaysia berkata, penting untuk memberi tumpuan kepada usaha menambah baik prasarana penjagaan kesihatan dan membaharui sistem pencen demi keterjaminan kewangan bagi semua rakyat.

Katanya, kerajaan perlu mengutamakan bidang-bidang ini untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mampan dan menyokong kedua-dua warga emas dan generasi akan datang.

Kerajaan harus menangani rintangan kewangan dan sosial yang menghalang rakyat daripada mempunyai anak, tambahnya.

Ini termasuk memperkenalkan insentif kewangan yang lebih baik seperti subsidi penjagaan anak, cuti bersalin dan paterniti yang lebih baik, dan akses lebih baik kepada penjagaan kesihatan.

Beliau juga berkata, keseimbangan lebih baik antara kerja dengan kehidupan serta waktu kerja yang fleksibel akan membantu pasangan berasa lebih yakin untuk mempunyai anak.

“Kerajaan boleh mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif (untuk mempunyai anak). Ini bukan sahaja membantu meningkatkan kadar kelahiran tetapi juga memastikan kesejahteraan generasi akan datang dan menangani cabaran populasi menua di Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.