Cuba seludup cicak, lelaki Malaysia didakwa di Australia

Cuba seludup cicak, lelaki Malaysia didakwa di Australia

Tertuduh berusia 19 tahun ditahan di kediamannya Isnin lalu selepas tiga cicak hidup ditemui dalam satu bungkusan dipos ke Malaysia.

cicak boy
Cicak hidup yang dipercayai cuba diseludup lelaki warga Malaysia keluar dari Australia. (Gambar ABF)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga Malaysia didakwa di sebuah mahkamah di Australia semalam atas tuduhan cuba menyeludup cicak hidup ke luar negara itu pada Februari lalu.

Tertuduh berusia 19 tahun didakwa di sebuah Mahkamah Majistret di Barat Australia atas tuduhan cuba mengeksport haiwan asli yang dilindungi bawah Akta Pemuliharaan Alam Sekitar dan Biodiversiti 1999.

Menurut Pasukan Sempadan Australia (ABF), siasatan dijalankan selepas sebuah syarikat kargo udara di Perth menemui tiga cicak dalam satu penghantaran ke Malaysia, yang diisytiharkan sebagai barang mainan pada 29 Feb lalu.

Susulan itu, ABF bersama pegawai Jabatan Pemuliharaan dan Biodiversiti menggeledah kediaman suspek di Subiaco, Perth, Isnin lalu.

Pemeriksaan di rumah itu menemui pelbagai haiwan liar termasuk beberapa cicak, labah-labah dan kala jengking, bersama tiga alatan digital.

Pegawai ABF, Chris Waters, mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberi maklumat mengenai perkara itu.

“Ini adalah hasil cemerlang yang menghalang lebih banyak hidupan liar Australia dihantar ke luar negara untuk meraih keuntungan.

“Tindakan itu bukan sahaja kejam tetapi menyebabkan banyak haiwan yang diseludup mati ketika dalam perjalanan,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Beberapa rakyat Malaysia pernah ditahan sebelum ini kerana cuba menyeludup haiwan dilindungi seperti kura-kura, labah-labah, ular dan kala jengking ke negara lain.

Antaranya Teo Boon Ching, dianggap sebagai ‘Godfather’ perdagangan haram haiwan liar antarabangsa, yang dihukum penjara 18 bulan di Amerika Syarikat pada September lalu.

Teo dipercayai anggota jenayah antarabangsa yang terbabit dalam aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan sumbu badak sumbu secara besar-besaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.