
Khairul berkata, klip video memaparkan dirinya menolak lelaki itu bukan kejadian baru sebaliknya ia berlaku tiga tahun lalu.
“Saya nak jelaskan sebenarnya video ini panjang, klip video ini lebih kurang lapan minit lebih pernah ditularkan tiga tahun lepas, bukan video baru.
“Kes ini telah melalui proses perbicaraan di mahkamah bawah Seksyen 334. Pada 28 Mac tahun ini juga mahkamah membuat keputusan membebaskan saya daripada pertuduhan tersebut,” katanya pada sidang media.
Mengulas lanjut, Khairul berkata, perbicaraan berlangsung di Mahkamah Sesyen Kulim selama 18 bulan sejak kes itu difailkan pada 2020 oleh warga emas tersebut.
Khairul percaya wujud “agenda jahat” pihak tertentu apabila video itu kembali ditularkan di media sosial dan kepada media ketika kempen PRN.
Susulan itu, beliau memaklumkan akan menyaman beberapa media dan individu yang terlibat menyebarkan video berkenaan.
“Sepatutnya kes ini tidak timbul tetapi ada pihak menangguk di air keruh untuk memberikan gambaran buruk kepada saya.
“Saya tidak beri ruang mana-mana pihak memohon maaf. Saya tegas kerana fitnah jahat ini keterlaluan. Saya akan memulakan tindakan saman secepat mungkin,” katanya.
Sejak semalam tular klip video berdurasi 19 saat menunjukkan Khairul menolak seorang warga emas.
Pada PRN 12 Ogos ini, Khairul akan berdepan pertandingan lima penjuru di DUN Lunas menentang calon Pakatan Harapan, Shamsul Anuar Abdullah serta tiga calon bebas iaitu N Rajenderan, S Arichindarem dan S Pannirselvam.