7 ditahan berkait pergaduhan di restoran

7 ditahan berkait pergaduhan di restoran

Semua suspek ditahan semalam dan punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham melibatkan kumpulan motosikal.

Tangkap layar video tular memaparkan pergaduhan membabitkan lebih 10 lelaki yang berbalas pukulan, dan membaling kerusi kepada individu lain di Ampang.
SHAH ALAM:
Polis menahan tujuh lelaki berusia lingkungan belasan tahun hingga 20-an, bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata semua suspek terbabit, ditahan pada hari sama dan hasil siasatan mendapati, punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham melibatkan kumpulan motosikal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor.

Terdahulu tular video berdurasi 30 saat, memaparkan pergaduhan membabitkan lebih 10 lelaki yang berbalas pukulan, dan membaling kerusi kepada individu lain.

Sementara itu, mengulas berhubung mogok lapar yang memasuki hari ketiga di luar Penjara Sungai Buloh, Hussein berkata seramai 44 ahli keluarga termasuk lapan kanak-kanak, masih berada di kawasan tersebut setakat 2 petang tadi.

“Polis membuka kertas siasatan bawah Seksyen 4 (2)(f) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan polis nasihatkan mereka yang terlibat supaya bersurai,” katanya.

Media melaporkan kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sejak 31 Julai lalu.

Dalam pada itu, Hussein berkata sebanyak 272 laporan diterima polis setakat ini sepanjang tempoh kempen PRN Selangor dan daripada jumlah itu, tujuh kertas siasatan dibuka dengan kebanyakan kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.