
Hakim Ahmad Fadhli Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Anuar Yusoff, 48, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan, namun hukuman penjara berjalan serentak, manakala hukuman sebat secara berasingan.
Ahmad Fadhli ketika membacakan penghakimannya, berkata mahkamah mengambil kira fakta kes, kesan trauma ke atas mangsa dan faktor kepentingan awam dalam membuat keputusan.
“Dalam kes ini, tertuduh didapati mengambil kesempatan atas kepercayaan mangsa dan ibunya yang membenarkan mangsa pergi bercuti bersama tertuduh, tetapi melakukan perbuatan keji itu.
“Sepatutnya sebagai individu dewasa yang juga seorang guru, tertuduh perlu melindungi mangsa ketika itu yang masih di bawah umur,” katanya menurut Berita Harian.
Ahmad Fadhli berkata, tertuduh juga diarah melakukan sesi kaunseling dan perlu menjalani pengawasan polis selepas selesai hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga seorang guru ketika kejadian didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun dengan menggosok kemaluan mangsa menggunakan tangan di dalam bilik Queen Fish D’Lagoon Pulau Perhentian, dekat Besut, pada 3 petang, 29 Julai 2022.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada 1 pagi, 30 Julai 2022, di lokasi sama dan pertuduhan ketiga, dia didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa pada 5 pagi pada hari dan lokasi sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Mohd Jazlee memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan tahap keseriusan kes, kesan trauma ke atas mangsa, selain sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
Namun, peguam tertuduh, Nik Ismail Nik Lah memohon hukuman penjara dijalankan serentak dengan mengambil kira tertuduh tiada rekod jenayah sebelum ini.