GPS tak sertai program kempen PRN, kata Abang Jo

GPS tak sertai program kempen PRN, kata Abang Jo

Pengerusi GPS itu berkata, pemimpinnya hanya muncul pada hari penamaan calon atas dasar memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan.

(Dari kiri) Anwar Ibrahim, Abang Johari Openg dan Hajiji Noor pada hari penamaan calon PRN Sabtu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menyertai sebarang program kempen untuk PRN 12 Ogos ini, kata Pengerusinya, Abang Johari Openg.

Premier Sarawak itu berkata, pemimpin GPS hanya muncul pada hari penamaan calon atas dasar memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan.

“Kita tidak ada menghantar jentera (pilihan raya) kita. Saya ada di sana atas tanda kita sokong kerajaan perpaduan.

“Bahkan, apa yang penting adalah kestabilan politik dan melaksanakan dasar-dasar yang akan menentukan hala tuju Malaysia,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau ditanya jika jentera pilihan raya GPS akan dikerahkan untuk membantu kempen PH dan BN bagi PRN enam negeri.

Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor muncul bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Selayang dan Ampang, Selangor pada hari penamaan calon Sabtu lalu.

Pengerusi BN, Zahid Hamidi dilaporkan menggesa pemimpin GPS membantu gabungan itu dan BN dalam kempen PRN enam negeri.

Ketua Whip GPS, Fadillah Yusof dilaporkan berkata, gabungan pemerintah Sarawak itu akan kekal berkecuali dan tidak terbabit dalam kempen PRN negeri lain.

GPS kemudian setuju menyokong, tetapi hanya membabitkan menteri dan timbalan menteri persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.