PM syukur muafakat kerajaan perpaduan mantap, tiada sabotaj

PM syukur muafakat kerajaan perpaduan mantap, tiada sabotaj

Anwar Ibrahim berkata, muafakat kerajaan perpaduan lebih mantap, ikhlas berbanding gabungan lain, merujuk pembangkang.

Anwar Ibrahim iktiraf muafakat kerajaan perpaduan yang menurutnya lebih mantap dan ikhlas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan kesyukuran atas permuafakatan kerajaan perpaduan yang disifatkannya sebagai lebih mantap berbanding pembangkang, susulan kemelut dimangkin perkembangan politik di Perlis.

Anwar menegaskan permuafakatan kerajaan sebaliknya tiada unsur sabotaj mahupun khianat.

“Saya bersyukur kerana muafakat kerajaan perpaduan lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj serta khianat seperti yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan lain (pembangkang),” katanya pada sidang media dalam talian.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi politik semasa membabitkan kerajaan pimpinan pembangkang di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Awal hari ini, Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN), diikuti setiausaha agung Azmin Ali dan pengerusi PN negeri lain seperti Johor, Perak dan Negeri Sembilan.

Terdahulu dilaporkan lapan Adun PN, termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap menteri besar Perlis ketika itu, Shukri Ramli daripada PAS.

Tindakan itu mencetuskan langkah PAS menghentikan keahlian tiga Adun terbabit, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti, yang menyebabkan jawatan mereka sebagai wakil rakyat turut tergugur.

Shukri yang juga Adun Sanglang kemudian mengumumkan peletakan jawatan menteri besar selepas tiga tahun menggalas amanah tersebut.

Ahad lepas, Abu Bakar Hamzah yang juga ketua Bersatu Perlis mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis ke-12.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.