
Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias menggesa setiausaha publisiti DAP itu agar ‘diam’, menegaskan beliau sewajarnya mempamerkan sikap lebih matang, khususnya dalam mendepani dinamika kerajaan perpaduan ketika ini.
“Menghina atau bersorak atas nasib malang seseorang tidak selari dengan aspirasi Madani yang parti Yeo sendiri pegang.
“Kenyataan sinis sebegini hanya memecah-belahkan rakyat dan menggugat usaha perpaduan nasional,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan agar Yeo menghentikan amalan politik kebencian, sebaliknya memberi tumpuan kepada khidmat bakti buat rakyat berbanding bersorak atas kejatuhan pihak lain.
Terdahulu hari ini, Yeo memuat naik hantaran berkata “Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini”, susulan keputusan mahkamah yang diumumkan pagi tadi.
Kenyataan tersebut mengundang kecaman Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, yang melabel tindakan Ahli Parlimen Puchong itu sebagai ‘amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian’.
Asyraf juga berkata, mungkin sudah tiba masanya Umno menilai kembali jalinan kerjasama ‘jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan Umno selama ini’.
Sementara itu, Adun PKR Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, atau lebih dikenali sebagai Altimet, menyifatkan hantaran Yeo sebagai ‘biadab dan tidak wajar’.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah, atas alasan tiada mekanisme undang-undang yang membolehkan ia dilaksanakan.
Najib, 72, sebelum ini disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula 23 Ogos 2022.