Umno perlu nilai semula kedudukan dalam kerajaan, kata Ku Li

Umno perlu nilai semula kedudukan dalam kerajaan, kata Ku Li

Penasihat Umno berkata keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes titah adendum Najib Razak bercanggah dengan perjuangan Umno mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

tengku razaleigh ku li
Tengku Razaleigh Hamzah bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menasihatkan kepimpinan tertinggi parti itu supaya menilai semula kedudukan dalam kerajaan perpaduan susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman bekas perdana menteri Najib Razak.

Permohonan itu dibuat bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Penasihat Umno yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu melemahkan perjuangan Umno dalam mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Umno perlu menilai semula kedudukannya dalam kerajaan. Mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan juga wajar mempertimbangkan melepaskannya supaya kita boleh menyatukan semula parti dan menilai semula pendirian kita.

“Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada pihak lain. Parti ini ada perlembagaan dan peraturannya sendiri yang mesti dihormati dan dipatuhi.

“Tiada gunanya kita meneruskan perjuangan semata-mata demi jawatan,” katanya pada sidang media.

Kenyataan Ku Li itu dibuat ketika Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu wajar mempertimbangkan semula kerjasama dengan pihak yang tidak menghargai sumbangan Umno.

Asyraf membuat kenyataan itu susulan tindakan Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Yeo Bee Yin, yang meraikan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan Najib di media sosial.

Tengku Razaleigh turut menggesa kepimpinan tertinggi Umno supaya mengadakan perbincangan dan mencapai satu keputusan yang dapat memuaskan hati semua peringkat dalam parti.

Dakwanya setakat ini, beliau belum mendengar sebarang perancangan sedemikian daripada kepimpinan tertinggi Umno.

Katanya, ramai ahli Umno melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Najib, bekas presiden Umno.

“Saya bersimpati dengan Najib. Kita akui mahkamah telah membuat keputusan, tetapi usaha tetap perlu dilakukan untuk membebaskannya, termasuk memohon pengampunan baharu daripada Yang di-Pertuan Agong sekarang.

“Mungkin pemimpin Umno berdiam diri kerana ini isu perundangan. Namun, ia juga membabitkan parti, jadi kita perlu membuat keputusan dan berusaha meringankan beban yang ditanggung Najib,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah, dengan alasan tiada peruntukan undang-undang yang membenarkannya.

Najib, 72, disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Satu permohonan semakan kehakiman difailkan tahun lalu bagi memaksa kerajaan melaksanakan satu adendum diraja, atau perintah tambahan, yang didakwa membolehkan Najib menjalani tahanan rumah.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam menolak dakwaan keputusan menolak permohonan semakan kehakiman Najib itu telah mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri dalam hal berkaitan pengampunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.