Siasatan REE tak terhenti selepas PRN, tegas Saifuddin

Siasatan REE tak terhenti selepas PRN, tegas Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata kes itu bukan terpencil atau isu dimainkan pada PRN semata-mata.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, kes kecurian unsur nadir bumi (REE) melibatkan keselamatan negara.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan siasatan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, tidak akan terhenti tanpa mengira keputusan PRN 12 Ogos.

Beliau menegaskan kes kecurian itu bukan bersifat terpencil atau isu dimainkan pada PRN kerana melibatkan soal keselamatan negara.

“Jangan anggap isu ini enteng seolah-olah insiden ini terpencil atau isu yang dimainkan pada musim pilihan raya kerana ini melibatkan isu keselamatan negara,” katanya menurut Bernama ketika mengadakan sidang media di Alor Setar.

Beliau berkata, tidak mungkin siasatan berhubung kes tersebut dalam diselesaikan dalam tempoh 12 hari.

“Jadi, ini bukan isu pilihan raya tetapi ini isu tidak kompeten dan lemahnya tatakelola menteri besar (Sanusi Nor) dalam menguruskan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga ketua setiausaha Pakatan Harapan berkata kes kecurian REE bukan sahaja memberi kesan kepada kerajaan negeri, malah menjejaskan imej negara memandangkan isu pemerdagangan manusia turut ditimbulkan.

“Perkara paling serius adalah tentang kompetensi seorang individu yang bergelar menteri besar kerana beliau mengurus negeri dan ada tanggungjawab besar, di bawahnya adalah seluruh instrumen pemerintah, agensi-agensi dan pengawal selia,” katanya.

Katanya, Sanusi juga gagal menjelaskan kepada rakyat pelbagai persoalan berkaitan kecurian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.