Rahman mahu Tempasuk terus jadi ‘kubu biru’

Rahman mahu Tempasuk terus jadi ‘kubu biru’

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud berkata kekuatan jentera akar umbi menjadi sandaran untuk mengekang usaha GRS pertahan penyandang Arsad Bistari.

Pemimpin Umno Abdul Rahman Dahlan kali pertama bertanding di kerusi DUN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemimpin Umno Abdul Rahman Dahlan berpegang kepada rekod khidmat bakti sepanjang menjadi Ahli Parlimen Kota Belud untuk memastikan DUN Tempasuk kekal menjadi ‘kubu biru’ Barisan Nasional (BN) pada PRN 29 Nov ini.

Bekas wakil rakyat Kota Belud dua penggal dari 2008 hingga 2018 berkata, beliau sedia berdepan sesiapa sahaja termasuk penyandang Arsad Bistari yang dijangka menjadi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sebagai rekod, Arshad memenangi kerusi itu pada PRN 2020 atas tiket BN dengan majoriti 1,685 undi, namun berpihak kepada GRS selepas menyokong pentadbiran Hajiji Noor dalam Langkah Kinabalu pada Januari 2023.

Menurut Rahman, banyak pembangunan digerakkan ketika beliau menjadi wakil rakyat, termasuk memperjuangkan pembinaan Politeknik Kota Belud bernilai RM250 juta yang kini sedang direalisasikan di kawasan DUN Tempasuk.

“Projek ini telah dirancang sejak 2017, namun dibatalkan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018 dan tidak dipertahankan oleh Warisan (kerajaan negeri dari 2018-2020).

“Selepas itu saya kembali memperjuangkannya dengan membawa perkara ini kepada menteri Umno (yang memegang KPT) iaitu Noraini Ahmad, Khaled Nordin dan kini Zambry Kadir.

“Tempasuk memerlukan pembangunan berterusan dan perancangan jangka panjang. Itu akan menjadi keutamaan saya,” katanya kepada FMT sambil
menambah projek pendidikan itu dijangka siap empat tahun dari sekarang

Semalam, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, mengumumkan Rahman antara 41 calon akan membawa cabaran gabungan itu pada PRN hujung bulan ini.

Ini kali pertama beliau bertanding di kerusi DUN. Rahman sebelum ini mewakili BN di Parlimen Kota Belud dan Sepanggar.

Rahman berkata, kekuatan jentera dan akar umbi Umno di kawasan itu memberikan keyakinan untuk mempertahankan Tempasuk, yang disifatkan sebagai ‘kubu biru’ yang belum pernah jatuh ke tangan lawan.

“Saya bertanding tiga kali di Parlimen Kota Belud; dua kali menang (2008 dan 2013) dan sekali kalah (2022), tetapi walaupun saya kalah ketika itu, Tempasuk tetap kita menang.

“Kekuatan kita memang sudah ada di sana…dua penjuru atau tiga penjuru, kita sedia berdepan tapi kita tetap kena kerja kuat,” katanya, enggan mengulas spekulasi calon lawan termasuk Arshad.

“Saya tidak mahu komen pasal orang lain. Yang penting, kita buat kerja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.