Lelaki patah hidung dakwa dipukul JMF pada final Piala FA

Lelaki patah hidung dakwa dipukul JMF pada final Piala FA

Doktor mengesahkan mangsa turut mengalami pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan.

Perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan KL City diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu lalu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seorang penonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City, mendakwa dipukul anggota Johor Military Force (JMF), pada Sabtu.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata lelaki berusia 30 tahun itu turut mendakwa dirinya mengalami kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 11.50 pagi, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang pulang ke Kuala Lumpur mendapatkan rawatan, ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan.

“Kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang berbahaya),” katanya dalam kenyataan.

Rahmat berkata, kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang melihat kejadian itu dikehendaki ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.