
Suspek dikatakan mengesyorkan syarikat milik ibu bapanya, yang diuruskan oleh isterinya, bagi mendapatkan perolehan kerja di sebuah jabatan kerajaan di Terengganu, sejak 2019.
Menurut sumber, suspek pertama yang merupakan seorang pegawai awam negeri berusia lewat 30an ditahan kira-kira 6 petang tadi, manakala isterinya berusia 40an ditahan kira-kira 3.30 petang di pejabat SPRM Terengganu, ketika hadir memberi keterangan.
Sumber itu berkata, dalam operasi itu juga SPRM berjaya merampas beberapa kenderaan mewah milik pasangan tersebut yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat dan semuanya dianggar bernilai lebih RM100,000.
Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan siasatan menyeluruh akan dijalankan dengan kemungkinan suspek juga terlibat dengan kerja-kerja perolehan yang lain.