
Beliau berkata, hab logistik milik penuh Global Vision Logistics Sdn Bhd (GVL) itu akan dibina di atas tapak seluas 28.73ha, dengan fasa pertama dijangka siap pada 2025.
“Saya lihat pembangunan hab ini sebagai satu cara bagi menambah lagi peluang pekerjaan untuk masyarakat Selangor khususnya.
“Untuk fasa pertama, 3,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran SAILH di sini hari ini.
Fasa pertama merangkumi kompleks gudang setinggi empat tingkat, kemudahan tempat letak kenderaan empat tingkat dan pejabat satu tingkat di samping bangunan tambahan termasuk kerja-kerja pengujian dan pentauliahan.
Sebelum ini dilaporkan bahawa IJM Construction Sdn Bhd telah memenangi kontrak daripada GVL bernilai RM653.6 juta untuk membangunkan fasa pertama SAILH, hab logistik bertauliah hijau pertama di negara ini dan antara yang terbesar di rantau Asean.
Amirudin dalam pada itu berkata, sektor perkhidmatan di negeri itu dilihat semakin menarik dan dijangka terus berkembang dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.
“Sektor perkhidmatan menyumbang kepada 60% kepada pembangunan ekonomi Selangor dan pertumbuhannya meningkat 13%, berpadanan dengan trend global.
“Selangor juga sedang menuju dan hampir menyaingi Singapura dari segi pecahan atau pun beralih dari (sektor) pembuatan kepada perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, mengulas laporan media berkenaan projek perumahan Rumah Selangorku yang terbengkalai di Morib, Kuala Langat, beliau berkata, projek itu telah dirujuk kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan selanjutnya.
“Projek perumahan terbengkalai ini merupakan salah satu isu yang perlu diselesaikan antara kerajaan negeri dan persekutuan. Itu memang sedang diteliti oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan kita sedang mengambil beberapa tindakan yang agresif.
“Kita tak banyak projek sebegitu, (projek perumahan) Morib adalah salah satu yang besar. Jadi saya akan minta pihak KPKT terutamanya memasukkan projek itu sebagai yang boleh diselesaikan,” katanya.