
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata cadangan meliputi lapan pindaan itu akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja selepas PRN 12 Ogos.
“Sebarang cadangan pindaan terhadap Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara kewarganegaraan hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan kehendak peruntukan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.
“Cadangan pindaan kepada Bahagian III Perlembagaan Persekutuan ini turut memerlukan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 161E(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, rujukan kepada pihak berkaitan penting kerana hal pindaan menyentuh hak orang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara oleh sebab perhubungan mereka dengan Sabah dan Sarawak.
Katanya, selain itu ia juga bertujuan memberi layanan sama rata antara orang lahir dan bermastautin di negeri Borneo dengan orang lahir di negeri Melayu Semenanjung.
Pada 17 Feb, Jemaah Menteri bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata ia meliputi cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, Seksyen 1(b), dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, kerajaan memberi jaminan memelihara kepentingan hak wanita atau ibu warganegara dan juga anak mereka.
“Pindaan ini memberi peluang kesamarataan jantina kepada warganegara Malaysia untuk memperolehi kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.